Pages

Thursday, January 6, 2011

Coretan Kenangan Untuk Library UUM

Library UUM-kredit to UUM-edu.com.my

Perpustakaan UUM penuh nostalgia. Tempat paling selesa untuk aku merehatkan diri kalau setakat gap 2 jam sebelum kelas lain. Atau dalam erti kata lain tempat aku tidur. ha3! Ada masa aku suka bersendirian disini. Ada masa aku suka beramai-ramai macam pesta menuai di sini. Entah apa yang dituai. Kali terakhir aku menjejakkan kaki dalam library ini adalah pertengahan Mac 2003. Untuk kali terakhir selepas selesai peperiksaan akhir sebelum balik kampung tanam jagung. Tempat duduk paling selesa adalah ditepi tingkap. Tetapi kadang-kadang mana-mana pun boleh, asal jauh dari couple yang asyik masyuk bercinta. Sakit mata memandang.


Bilik karel library ni dulu agak panas.  Tapi kalau mata dah mengantuk bantai panas ke sejuk asal dapat lelapkan 10minit pun jadilah sebelum kelas berikutnya. Maklumlah bila kelas berada di ambang petang sambil diselangi suara tuan atau puan pensyarah yang ala-ala mendodoi jiwa dan kelopak mata. Entah bila mata terkatup pun tak perasan. Tiba-tiba terasa kepala aku diketuk dari belakang. Adoi! sakit la!..Siapa la punya kerja ni menganggu aku menikmati alunan suara penuh cinta tuan dan puan lecturer.


Bilik diskusi adalah bilik paling laris bila time periksa. Tempat membentangkan "soalan dan jawapan bocor" tu belum lagi termasuk sesi bergosip. Tiba-tiba aku teringat gosip pramugari dan pramugara jual air atas kapalterbang. Siapa la ye yang buat gossip ni. ha!ha!ha!. Kalian, kali terakhir kita berada dalam bilik ini untuk membincangkan paper SW dalam industri tak silap aku.


Tempat strategik aku adalah di tingkat 4. Di situ ada bilik simpan "karya teragung latihan ilmiah yang entah salah atau betul" yang biasa aku dan kawan-kawan mencelok idea. Ada bilik musik merangkap bilik tidur ala mewah aku. Ada barisan buku-buku tulisan Pak cik Shakspears. Baris depan tersusun buku-buku kriminologi yang hampir menjadi fobia sepanjang hayat di UUM. Barisan belakang barisan buku-buku SW, memang selalu tonggang langgang buku-buku itu. penat librarian susun tak sampai berapa minit, kalian selongkar balik. Kalau agak-agak dah tak boleh nak pinjam buku, maklum la setiap seorang limit 6 biji sahaja, kita sorok buku-buku tu kat kawasan kesusteraan. tak ada sapa yang jumpa!


Aku fobia berada di tingkat 2 kerana acapkali terjumpa sepasang kekasih yang masyuk bercinta-tapi tak kawin pun! Tapi aku suka juga berada ditingkat 2, barisan kamus pelbagai bahasa ada disitu. Soalan peperiksaan zaman UUM baru ditubuhkan pun boleh dapat di situ. Ada barisan internet yang cukup pantas berfungsi berbanding di makmal. Paling best guna di malam hari kerana tak ramai penggunanya. Kalau dulu arahan "Anda dilarang access email disini" sekarang mungkin "Anda dilarang access FB disini" kan? Kat sini juga disedikan Q untuk fotostat dan bilik solat.-Cuma tempat jamu selera tak ada.  Patut UUM keluar dari kepompong Library Sila Jangan Makan Disini. Apakah?


Tingkat 3 disebelah kanan adalah tempat susunan jurnal yang kadang-kadang mengambil masa untuk difahami disebalik bait bahasa indahnya. Terdapat majalah lama yang dijilidkan disini. Kalau nak tengok gambar Syarifah Aini masa muda pun ada kot! Disebelah sananya buku-buku berkaitan bisnes dan akauntasi tak silap aku. Jarang ke bahagian kiri tu melainkan bilik diskusinya.


Tingkat 1 tempat untu meminjam buku, tempah bilik karel, diskusi, mencari bahan dari library lain. Ada televisyen dan surat khabar terkini. Telesyen tu la tempat kaki bola lepak terumtama ketika PIala Dunia 2002, sementera menunggu kelas bermula- sila jangan babitkan aku ye! Aku tidak terlibat macam seseorang tu yang melekatkan jadual perlawanan bola di tepi katil sepanjang Piala Dunia 2002 ye! Ho! Ho! Ho!


Bilik 24 jam. Nama saja. Padahal cuma berfungsi 12 jam itu pun Pak Cik UK yang berpakaian ala anti-rusuhan dah round berapa kali. Terutama selepas peristiwa yang menyeramkan berlaku di bilik 24 jam itu. Aku jarang ke sini. Setakat duduk setengah jam bolehla..


Foyer library adalah tempat segala pameran di buat. Dari pesta buku sampai ke CD cetak rompak. Tempat lepak paling nyaman. Dihembus angin-angin sepoi bahasa. Sambil mencuci mata. Temapat aku berlatih taeokwondo setiap petang Jumaat. Kali terakhir aku melihat latihan Taekwondo dijalankan adalah pada awal Mac 2003. Tiba-tiba aku terlihat kelibat orang kuat Taekwondo yang telah 1 sem grand. Mungkin dia ambil Master kot- Sila jangan tanya aku kenapa tak bertanya sendiri dengan empunya diri. Maaf kami tiada kaitan.


Entah kenapa pagi ni aku ingin bercerita tentang library yang menyimpan banyak kenangan dari usia remaja hingga hampir tak remaja di UUM ini. Seingat aku untuk kali terakhir aku dibilik karel aku melihat satu nota yang ditulis oleh vandalisme di atas meja bilik karel lagu ini :-
Un-break my heart
Say you'll me again
Undo this hurt you caused
When you walked out the door
And walked out of my life
Un-cry these tears
I cried so many nights
Un-break my heart
Terima Kasih & Selamat Tinggal UUM

Kalaulah aku tau siapa yang berjiwa walang itu, nak aje aku cakap 'dunia masih indah' -kalian ingat siapa yang selalu menuturkan ayat ini ?









No comments:

Post a Comment