Pages

Thursday, July 12, 2012

Julai 2002 Di Universiti Utara Malaysia

Kata ramai pakar motivasi jika kita merasa sedih, carilah gambar atau sesuatu yang boleh buat kita kembali tersenyum semula. Walau sekeping gambar lama ia tetap mampu buat kita ketawa. Ia tetap relevan sepanjang zaman. Umpama filem Ali Setan dan masih kekal relevan walau dijarakkan oleh jurang teknologi. Masakan tidak, dulu tak ada iPad mereka menulis nama atas daun, sekarang ada iPad pun ada orang tulis nama atas daun jugak, tak percaya ? Malah ada lebih dasyat tulis nama atas meja library. E-H-E-M ! 

Cerita tentang gambar lama mengingatkan saya kembali tentang peristiwa yang berlaku pada 5 hingga 7 Julai 2002. Pada tarikh itu genaplah sepuluh tahun kisah sekumpulan sahabat baik mahu mematri persahabatan dengan satu projek universiti. (Saya tak pasti adakah mahu menulis entry tentang ini lagi 10 tahun akan datang) Atau lebih dikenali sebagai 'Projek Kroni'. Tak main projek kolej kediaman. Iyelah masing-masing dari kolej kediaman berbeza, Laluan A, Laluan B dan Laluan C - maka datanglah idea untuk bikin projek mega lagi gempak sebagai tanda kenangan. Rasa bangga bila orang kawan-kawan bertanya, "Projek kolej ke universiti ? " Dengan bangga tahap gaban menjawab "Apa kelas projek kolej!" Maka tercetuslah ilham projek yang membabitkan Unit Pencegah Penyeludupan. Bila 'point' dah ada, pening pula mahu bikin nama projek biar nampak 'garang tapi mesra'.

Lalu hasil terjahan idea ketika duduk di anak tangga masjid yang ke 99, hingga acara makan-makan dari Kafe 4 pointer, Kafe Lego sampai ke Kafe Nongka barulah tercetus nama projek berdasarkan tema 'garang tapi mesra' di atas. Dahsyat betul !

Sebenarnya ia projek universiti yang biasa-biasa, tetapi kerana memerlukan kerjasama yang padu dari pihak keselamatan negara maka ia sudah menjadi projek luar biasa. Kertas kerja entah berapa kali dirombak supaya pihak semua pihak yang terlibat berpuashati dan mendapat manfaatnya. Projek yang dirancang, dicanai dan di tarik selama dua semester beri penuh tekanan kepada 'orang-orang kuatnya' (siapa ? Pengarah Urusannyalah!). Pendek kata mandi tak basah tetapi makan terlebih kenyang, kerana bukan sahaja melibatkan pegawai UPP, malah seluruh ahli keluarga UPP. Paling terharu bila dapat tahu, sesama anggota UPP baik pegawai mahupun anggota biasa, telah menyusun jadual tugas mereka bagi membolehkan mereka mengikuti aktiviti ini secara bergilir-gilir.

Teruja bila mendapat kebenaran untuk mendaki pos kawalan sempadan Malaysia - Thailand menaiki pacuan empat roda. Ketika dalam perjalanan mendaki puncak bukit masing-masing sibuk membelek telefon yang telah bertukar ke 'signal' negara jiran. Aras ketinggian membuatkan semua peserta kena telan air liur banyak kali bagi memastikan telinga tidak tersumbat dan boleh dengar suara sendiri.

 Dari atas puncak boleh nampak jelas daerah-daerah negara jiran itu, lalu ada yang buat lawak begini ,
 "Mahu ke A ke, B ke, C ke atau D ?" Lalu ada yang menjawab
 "Ke D lah ! Dah dekat pun!"
A untuk Alor Setar
B untuk Bandar Baru Jitra
C untuk Changlun
D untuk DANOK.
Maka ?

Saya menganggap projek ini umpama penanda aras sebuah persahabatan pada tahap paling optima.
Kata seorang dari kami, nasib pengajian di kampus ini ada jangkahayatnya, jika tidak, persahabatan ini akan bertukar menjadi sebaliknya. Sebab masing-masing sudah tahu warna diri sahabat. Yang kepala angin, yang sentimental, yang gila glemer macam saya - semua sekali hasil 'bidikan' projek tersebut. Tapi projek ini bukan mahu menyelongkar warna pada sisi yang berbeza, setakat mencari sisi warna yang sama iaitu mahu yang terbaik dan sempurna, bukan ?!

Gambar yang saya muatkan dalam entry ini adalah 'yang terbaik' yang saya ada, sebab gambar ini akan tersimpan dalam khutubkhanah Encik 'Google' umpama berita off record yang akan meledak bila tiba masanya. Kita tidak tahu 10 atau 20 akan datang siapa kita. Siapa Noor Azrinna, Ahah! Maka setelah tapisan demi tapisan, tak banyak gambar yang sesuai saya publish. (Jika peserta projek ini ada gambar yang 'sweet' sila email saya ni azzrra4ever@yahoo.com.sg untuk saya publish disini)

Teman Memang Betul-Betul Mesra. Allahyarham Ratino mencangkung dihadapan bertopi dan berbaju biru

Dr Razak 10 tahun dulu. Pernah tanya beliau apa petua awet muda, katanya duduk kat Sintok campur budak-budak buat jadi awet muda.
Pernah saya berbicara dengan salah seorang sabahat itu, tentang projek tersebut, masih ingatkah ? Lalu terbit pertanyaan, jika sekarang berkumpul masih ada lagi sesuatu yang boleh 'dikongsi' ? Maklumlah masing-masing sudah keluar dari kepompong masa lalu, ideologi politik juga sudah berbeza dan sukar diduga. Jika dulu setiap kali bertemu ada sahaja cerita sensasi. Dari sebatang pencil kontot bisa memotretkan hingga boleh jadi naskhah yang siap berjilid dan bertulisan emas. Tapi sekarang ? Bila bercerita, entah berapa kali benda yang sama diulang. Nampak sangat masing-masing berada dalam kekalutan dunia.

Kata seorang kawan, nanti kita dah tua, dah tak sibuk, boleh duduk borak-borak sambil menanti hari kematian. Kita bercakap macam kematian itu 'semestinya' bila tua. Al-Fatihah untuk sahabat kita, Allahyarmah Ratino Sukarno yang pergi meninggalkan kita pada usia 33 tahun. Ogos ini genap 2 tahun pemergiannya. Terdetik di hati untuk kesekian kalinya mahu mengumpul sedikit sumbangan supaya dapat kita hulurkan kepada anak-anak Allahyarham. Puan Citot terima kasih atas usaha anda menjejak balu Allahyarham. Mudah-mudahan usaha kita ini dipermudahkan. Amin!


Saya juga pemilik blog http://azrinna-kiosk.blogspot.com

1 comment:

  1. As Salam. Saya suke entry anda. Ianya mengimbau kenangan lama.

    ReplyDelete