Pages

Tuesday, May 29, 2012

Bukit Bunuh Fantasi Atau Realiti ?

Bila Bukit Bunuh dijadikan cerita dalam Drama Indra Joned (tak pasti benarkah lokasi juga di Bukit Bunuh, sebab tempat berkenaan kini adalah ladang kelapa sawit) tiba -tiba aku teringat Noor Zihan atau nama panggilan Anne yang berasal dai Lenggong, Perak sebab Bukit Bunuh ni terletak dalam Daerah Lenggong. Sebab berapa kali aku belajar sebut Lenggong dari Anne tapi tak pandai-pandai. Anne satu bilik dengan Kak Chik masa kita semester 1 dan mendiami Kolej Kediaman Pernas kan ?

Kalau ikut cerita, sebagaimana babak awal Drama Indra Joned atau dalam versi omputihnya Indra Jones, nama Bukit Bunuh dikaitkan dengan kisah bagaimana seorang lelaki pertengahan usia yang bermimpi bahawa dia perlu membunuh isterinya untuk mendapat harta dan menjadi kaya.Terpengaruh dengan mimpinya, dia telah memilih tempat untuk membunuh isterinya di sebuah kawasan hutan terpencil di atas bukit yang bersempadan dengan lembah yang agak luas.

Macam biasa hebohlah penduduk kampung dengan rancangan lelaki separuh usia itu dan kerelaan isterinya untuk dikorbankan semata-mata kerana mahu suaminya menjadi kaya dan dipandang tinggi di mata orang kampung.(Anda ada berani? harus berparang hukumnya!)Rancangan itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan kerana ketika si isteri sedang mandi berlimau (mandi dengan perahan air limau sebelum dibunuh) di tepi sungai, dia ternampak tempayan emas sedang hanyut. Lalu diambilnya tempayan itu dan diberikan kepada suaminya. Rancangan membunuh dibatalkan dan kekallah suami isteri itu sebagai orang kaya kerana sudah berharta.

Namun Bukit Bunuh ni sudah terkenal sebelum Indra Joned tersesat di sini lagi, sebab ia telah di sahkan sebagai tapak Zaman Paleolitik tertua di dunia yang berada di luar Afrika. Tapak ini berkeluasan 4 km persegi dengan bertarikhkan lebih 1.83 juta tahun dahulu.Paling menarik, di tempat inilah satu-satunya tapak Paleolitik dunia yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu hasil penemuan kapak genggam di sini.

Secara logiknya sesuatu kawasan akan menjadi petempatan jika punya sumber alam yang cukup banyak tentulah untuk mengisi perut dan membuat peralatan dari batu bau, sebab zaman dulu mereka tak kisah petempatan tu sesuai buat shopping complex ke apa kan? 
Tapi petempatan itu telah musnah akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu dan ini dibuktikan  secara geomorfologi dengan kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan.

Bila ada yang membincangkan di mukabuku, jika benar orang-orang Paleolitik mengupah Indra Joned menjaga harta tinggalan mereka, mengapa pakaian mereka jauh berbeza ? Mungkin ketika itu teknologi mereka jauh lebih canggih dari kita sebab boleh menghubungi manusia pada abad masa depan untuk meninggalkan wasiat. Agak-agak berapa banyak orang-orang Zaman Paleolitik bayar Indra Joned untuk jaga harta diaorang? Agak-agak ? Emm.... nama pun drama, boleh gabungkan pelbagai elemen. 

Tapi yang pasti drama ini akan buat orang mencari benarkah Bukit Bunuh wujud dalam alam realiti. Sebab kita selalu tak nampak apa yang kita ada, apa yang ada disekeliling kita tanpa diwujudkan berlakunya sesuatu peristiwa atau pengkisahan yang buat kita mencari. 

Entry ini buat saya teringatkan Anne, lalu saya mencari-cari gambar lama Anne dalam album kampus. Yes! Saya menemuinya. Ingat tak tidur kat Pudu Raya di bulan Puasa 10 tahun sudah?


1 comment:

  1. teman sebilik saya dulu sri, syidah dan Lyana. Anne tu mungkin sebilik dengan Shahidawati kasa @ masri @ zaiton.

    ReplyDelete