Pages

Wednesday, August 29, 2012

Hari Raya Si Penjual Satey

Ada orang bertanya, bila jual satey banyak-banyak masa Syawal ini tak payah beraya ke ? Tak jalan-jalan ? Buat apa duit banyak-banyak kalau nak beraya pun susah!

Sebenarnya sama sahaja dengan orang lain beraya. Pagi raya yang lelaki tetap ke surau menunaikan solat Subuh berjemaah. Cuma jika banyak tempahan pada pagi hari raya, ketika yang lelaki solat di surau, yang perempuan mengambil alih tugas mengipas, bila yang lelaki balik barulah yang perempuan pula solat Subuh. Berehat seketika pada waktu Dhuha untuk berDhuha dan Solat Hari raya. Tetap memakai pakaian baru. Tetap bersalaman bermaafan. Tetap ada membuat kuih raya walau cuma empat jenis. 
 
Tetap ada masakan istimewa pada pagi raya walau sibuk berniaga, walau saya cuma ada dua beradik tapi kami ada family besar yang biasanya akan serbu rumah pada tengahari hari raya pertama. Maka jika buat 100 biji ketupat pun tetap akan tinggal 5 biji menjelang Maghrib hari raya pertama.
Lepat daun kelapa

 ketupat dan lepat

Tentang berjalan-jalan berhari raya, biasa kami ada jadual. Dari berapa hari bulan, pukul berapa orang tempah satey sampailah bila mahu dapatkan bekalan ayam dan daging, malah anggaran masa cucuk satey semua ada. 

Jadi bila tiada tempahan atau tempahan sedikit, ambil kesempatan untuk berjalan walau sekadar jiran-jiran tetangga. Contohnya jika ada tempahan pukul 12 tengahari, pukul 3 petang masih boleh berjalan. Bila tiada tempahan baru jauh sedikit kaki melangkah. Kadang-kadang keluar pagi, Azan Magrib berkedumang baru sampai rumah.Yang penting faham 'baca' jadual. Bila berada dalam golongan mereka yang sibuk ketika Syawal ini haruslah difahami dan tidak menjadi gunting dalam lipatan yang merosakan jadual yang dibuat sejak Ramadhan lagi ini apatah lagi perniagaan warisan ini.

Tentang buat apa duit banyak-banyak ? Kita boleh beribadah menggunakan duit yang diperolehi melalui  bersedekah dan berzakat sepertimana tercatat dalam Surah Al-Baqarah, ayat 245 yang bermaksud "Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya pada jalan llah), maka Allah melipatgandakan pembayran kepadanya dengan banyak. Allah menyempitkan dan melapangkan rezeki dan kepadanya kamu dikembalikan"

Malah dalam satu pendapat Imam Abu Hanifah iaitu pengasas Mazhab Hanafiah atau nama sebenarnya Nu’man bin Tsabit bin Zhuthi’ yang berbunyi " Janganlah kamu meminta pendapat tentang sesuatu kepada orang yang tidak ada makanan di rumahnya. Bagaimana dia hendak memberikan pendapat yang tepat sedangkan dia sendiri bingung kerana ketidakupayaannya"

Waallahualam.

No comments:

Post a Comment